Saya merupakan bekas pelajar SMK Agama Matang pada sehingga tahun 1996. Pada zaman tersebut didikan para guru sangat-sangat memberi kesan kepada diri saya sehingga kini saya telahpun bekerja dan bergelar pendidik, tetapi belum lagi saya berjumpa dengan didikan yang serupa yang telah ditumpahkan oleh guru-guru saya sewaktu zaman persekolahan dahulu sehingga tahun 1996.

Setelah 13 tahun berlalu, kenangan sewaktu di sekolah dahulu masih segar di dalam memori saya. Ramai daripada kenalan saya daripada angkatan yang sama telahpun menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang saya boleh labelkan sebagai berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Cikgu Abang Ismawi Abang Muhi, Ustaz Drahman (Pengetua), Cikgu Annuar (Pengetua), Cikgu Abdul Rahim Abol, Ustaz Rusydan Azizan, Ustaz Tarmizi, Ustaz Abdul Aziz, Ustazah jamaiyah, Ustazah Zainon, Ustaz Zakaria, Cikgu Happy, Cikgu Abdul Rahim, Ustaz Sani dan beberapa orang lagi guru-guru saya yang pernah mendidik saya yang jasa mereka sangat-sangat berharga buat diri saya.

Saya masih ingat lagi setiap hari pada waktu Solat Subuh, kesemua penghuni asrama diwajibkan turun untuk menunaikan solat berjemaah. Maka pada waktu itu kesemua pelajar turun untuk solat subuh berjemaah walaupun ada yang datang lewat dan masbuk. Namun berkat didikan tersebut kesemua pelajar pada waktu itu MENUNAIKAN SOLAT.

Saya juga masih ingat, Ketua Warden kami pada waktu itu ialah Cikgu Abang Ismawi yang dikasihi, apabila ada para pelajar yang melakukan masalah disiplin, maka hukuman yang dikenakan ialah beriktikaf di masjid sekolah dan menghafal surah Yaasin dan tahlil sehingga lancar.

Begitulah guru-guru saya mendidik kami sehingga KEBERKATAN didikan mereka menjadikan kami insan yang mampu berkhidmat kepada Agama, bangsa dan Negara.

Sahabat-sahabat dan para pembaca yang dimuliakan. Marilah kita berdoa untuk guru-guru kita kebahagian di dunia dan di akhirat.


قُمْ لِلْمُعَلِّمْ وَفِيهِ تَبْجِيلاً كَادَ الْمُعَلِّم أَن يَكُونَ رَسُولاً.


Maksudnya: Berdirilah untuk guru dan berilah penghormatan, sesungguhnya tugas para guru seakan-akan tugas para Rasul.

Saya masih ingat pesanan guru saya bahawa kenangan yang paling manis ialah kenangan sewaktu di alam sekolah menengah.

Terima Kasih Cikgu.

ALLah Maha kasih kepadanya...


Tuan Guru Ustaz haji Awang Pon telah kembali kerahmatuLLah pada jumaat 17 Julai 2009 / 25 Rejab 1430H.

Ya ALLah...Rahmatilah Tuan Guruku Ustaz Haji Awang Pon, ampunkanlah dia, luaskanlah kuburnya, kurniakanlah kepadanya sebaik-baik teman, golongkanlah dia di antara para solehin.

Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Sesungguhnya daripada ALLah kita datang dan kepadaNyalah kita kembali...

ALLahyarham Al-Fadhil Dr. Fathi Yakan. Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia mengenali nama ini sebagai pendakwah Islam yang penulisannya sering menjadi bahan rujukan di dalam pelbagai usrah iaitu kitab “Maza ya’ni intima’ lil Islam” atau Apa Erti Saya Menganuti Islam.


Pada hari Sabtu lalu 13 Jun 2009, dalam usianya 76 tahun (1933 – 2009), beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di muka bumi yang fana ini.


Dr. Fathi Yakan ialah ulama' dan pendakwah Islam yang terkemuka. Berkelulusan Ph.D. dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam, beliau merupakan antara penggerak awal gerakan Islam sekitar tahun 1950.


Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Al-Jamaah Al-Islamiah Lubnan sehingga beliau memenangi kerusi Parlimen di Lubnan. Beliau ialah aktivis utama dalam arena politik, kelihatan paling jelas semasa pilihanraya pada tahun 1996.


Al-Fatihah.

Bersama Dato' Dr. Haron Din

Thu | Feb 28, 08 | 10:08:47 am MYT

Soalan

Saya seorang pensyarah di sebuah IPT. Saya tidak berminat soal politik kerana bagi saya, permasalahan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan ukhrawi (agama). Bagaimanapun saya ingin bertanya, apakah tingkah laku ahli-ahli politik atau pengikut mereka akan dipersoalkan di akhirat tentang sikap politik mereka. Mengapa perlu pilih PAS, tidak BN? - Pensyarah Muda, Kuala Lumpur.

Jawapan

Saudara telah membuat andaian berdasarkan kepada pemikiran sendiri. Pemikiran sedemikian mungkin dipengaruhi oleh keadaan politik semasa yang senantiasa bergolak.

Saya memahami orang pemahaman seperti saudara memang wujud dalam masyarakat kita.

Pemahaman ini wujud kerana teori politik secara umumnya adalah bersifat kebendaan. Ia bersifat sekular.


Sekular adalah suatu sistem yang difahami memisahkan agama daripada kehidupan.

Keseluruhan pemikiran politik yang diteraskan kepada materialisme yang melahirkan fahaman sekular adalah diasaskan ahli-ahli politik Barat, diasaskan kepada akal dan menolak wahyu sebagai alat berpolitik.

Oleh kerana itu, agama kepada sesetengah ahli politik Barat, tidak boleh dicampurkan dengan politik.

Wahyu sebenarnya di luar jangkaan akal manusia. Akal tidak mampu memahami kehendak wahyu. Manusia yang beriman perlu mengambil wahyu sebagai jambatan pengabdian terhadap Allah SWT.

Kefahaman yang diterapkan golongan orientalis menerima wahyu hanya untuk digunakan menyembah Allah, manakala mentadbir negara digunakan akal yang kononnya rasional.

Sekular adalah hasil ciptaan pemikir Barat yang berasaskan realiti dalam masyarakat Barat, khususnya di abad pertengahan sebelum zaman Kebangkitan Eropah (European Renaissance).

Pada zaman itu, masyarakat Eropah dikongkong oleh kuasa gereja. Gereja yang menentukan segala-galanya.

Orang-orang gereja (para Pope) yang paling berkuasa. Kata-kata dan tindakan mereka betul semuanya, tidak boleh disanggah walaupun ia tidak rasional.

Pemikir-pemikir politik Barat, sedar akan kemunduran kerana dijajah oleh keagamaan Kristian yang banyak tidak rasional terhadap mereka, menyebabkan negara mundur.

Dari sinilah lahirnya fahaman sekular yang memisahkan penghidupan dengan agama, sekali gus memisahkan agama daripada politik (daripada kalangan Kristian).

Meskipun itu boleh berlaku dalam masyarakat Barat yang berpegang dengan fahaman Kristianiti, ia berbeza dengan agama Islam.

Islam adalah agama yang secara tabi'enya sesuai dengan tabiat di dunia dan penghidupan manusia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat.

Firman Allah (mafhumnya): "Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan (mengikut agama Allah), iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dalam keadaan semula jadinya) untuk menerimanya; tidak patut ada sebarang perubahan kepada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah ar-Rum, ayat 30)

Ini memberi isyarat bahawa agama Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Hukum-hukumnya rasional, mudah diterima akal dan rasional.

Tercatat dalam sejarah Islam dilaksanakan dengan masyarakat manusia, sejarah sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. berpindah ke Madinah pada Tahun 1 Hijrah (622 M), terus menerus dilaksanakan dengan jayanya dan tersebar hingga ke seluruh dunia.

Islam berkembang dari Asia ke Afrika, ke Eropah ke Timur.

Sehingga Kerajaan Uthmaniyah di Turki, di bawah pemerintah sultan terakhir digantikan pemerintahan i'lmaniyyah (sekular) Mustafa Kamal Ataturk pada tahun 1924.

Ketika itu lenyaplah negara Islam yang sebenar, melainkan tinggal beberapa buat negara sahaja.

Pemikiran politik Islam bertitik tolak daripada kefahaman Islam yang tidak memisahkan Islam daripada pemerintahan.

Ia bersatu dalam satu perkataan di istilahkan sebagai Ad-Din, cara hidup yang lengkap, terungkap seperti firman Allah (mafhumnya): "...Pada hari ini, Aku (Allah) telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku terhadap kamu, dan aku reda Islam menjadi ad-Din kamu (cara hidup yang sempurna)..." (Surah al-Maaidah, ayat 3)

Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik, memerintah cara Islam.

Jika kita menolak pegangan ini dan memilih yang lain, ia bermakna menolak ketetapan Allah dan merendah-rendahkan agama, seolah-olahnya cara hidup ciptaan manusia, lebih sempurna dari ciptaan Allah.

Merendah-rendahkan agama Allah boleh menyebabkan kerosakan akidah.

Oleh itu maka pemilihan untuk menyokong sesebuah parti politik dan berjuang untuknya mesti dibuat berasaskan keputusan yang betul, bukan semata-mata terpengaruh dengan arus masyarakat.

Jangan sesekali menyokong sesebuah parti yang perjuangannya mendorong hanya kepada kesenangan dunia, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu menjadi penentang kepada perjuangan Islam. Wallahua'lam. - lanh _


Sumber : http://www.harakahdaily.net/

Menjaga tali persaudaraan dan persahabatan adalah WAJIB dalam Islam. ALLah SWT telah mengharamkan manusia untuk memutuskan tali persaudaraan. Ini kerana Islam amat menitikberatkan hubungan sesama manusia di samping hubungan dengan ALLah SWT. Di dalam Islam, orang-orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan, maka mereka akan diberikan keutamaan oleh ALLah SWT, di antaranya;



PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.


Sabda Rasullullah s.a.w. :


"عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عليه وسلم : ( إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَيْنَ الْمُتَحَابُّوْنَ بِجَلاَلِى، اَلْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِى ظِلِّى يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّى)".


Bermaksud : " Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (Dimanakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan-Ku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka didalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku ) " .

( Hadis riwayat Muslim )


KEDUA : Mereka Dapat Merasakan Manisnya Iman .


Sabda Rasullullah s.a.w. :


"عَنْ أَنَسْ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النبى صلى الله عليه وسلم قَالَ : (ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِيْمَانِ : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ للهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ)".


Bermaksud : "Sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . "

( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )


KETIGA : Dosa-Dosa Mereka Diampuni Oleh Allah .


Sabda Rasullullah s.a.w.:


"عَنِ الْبَرَّاءِ رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا)".


Bermaksud : " Daripada al-Bara' r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada diantara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah ".

( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi )


Di antara cara yang berkesan dalam membina tali perhubungan ialah berlumba-lumba dalam memberi salam kepada saudara dan rakan taulan.

Sabda Rasullullah s.a.w. :

"عن أبي هريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (وَالَّذِىْ نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا، وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تُحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَىْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوْا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ)".


Bermaksud : " Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. : " demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih saying, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih saying ? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami " .

( Hadis riwayat Muslim )


ALHAMDULILLAH... Dengan nada yang perlahan dan kelegaan, itulah lafaz pertama yang terungkap dibibir saya setelah sampai di muka pintu rumah setelah berakhirnya perjalanan yang panjang dan memenatkan bersama keluarga dari beberapa buah tempat yang mampu diziarah bukan hanya untuk bersantai tetapi untuk menginsafi keindahan alam ciptaan ALLah SWT.


Sejenak merenung lafaz yang mulia itu, yang saya catatkan di atas, saya terfikir dan faham akan maksud tersurat daripada lafaz tersebut. Namun saya bertanya kembali kepada diri saya bahawa adakah saya benar-benar memahami maksud tersiratnya?


Maksud TERSURAT?


ALHAMDU maksudnya Syukur atau Puji-Pujian dan

LILLAH maksudnya Kepada ALLah.


Jika kita lihat maksud tersuratnya ialah kita mengucapkan syukur kepada ALLah SWT yang telah mengurniakan kepada kita nikmat yang tidak terhingga tanpa mengira kita taat atau kita derhaka kepada Nya.


Maksud TERSIRAT?

Namun apabila ditanya kembali adakah puji dan syukur yang kita lafazkan kepada ALLah SWT adalah di atas nikmat nyawa, udara, kehidupan, rezeki, yang hanya mampu kita nampak di depan mata kita sahaja? Adakah kita layak menyatakan kepada ALLah dengan mengucapkan puji kepada ALLah hanya ke atas perkara tersebut sahaja? Adakah itu sahaja yang ALLah miliki?!


Tentu sekali TIDAK.


Kekayaan yang ALLah SWT miliki tidak tertangkap oleh mata dan tidak terjangkau oleh fikiran kita. Nikmat yang ada di hadapan mata kita lantas menyebabkan hati kita memuji ALLah dengan terungkapnya lafaz ALHAMDULILLAH di bibir kita hanyalah ke atas perkara yang ada di hadapan mata dan terbayang di dalam fikiran kita sahaja sedangkan ALLah SWT sebenarnya mempunyai lebih banyak dari itu, lebih luas dari itu. Daripada sekecil-kecil atom di muka bumi sehingga sebesar-besar galaksi di tujuh petala langit adalah milik ALLah SWT.


Justeru, adakah sebenarnya melalui lafaz pujian yang kita ungkapkan untuk ALLah SWT melalui lafaz ALHAMDULILLAH sahaja cukup untuk menggambarkan terima kasih kita dan puji-pujian kita terhadap apa yang ALLah miliki...? SUBHANALLAH... Sesunggunhya hanya kepada ALLah SWT sahajalah kembalinya segala Puji-Pujian.

Wasiat 1 : “Apabila mendengar azan, bangun dan dirikanlah solat walau dalam keadaan apa sekalipun.”


SOLAT! Suatu kalimah yang sepatutnya menjadi suatu agenda yang terpenting bagi umat yang bergelar MUSLIM! Lebih penting daripada mesyuarat! Lebih penting daripada seminar! Lebih penting daripada program-program yang dianjurkan! Ini kerana solat merupakan perintah terus (direct order) daripada Pencipta manusia dan alam seluruhnya, Tuhan Yang Maha Perkasa, ALLah SWT Rabbul Jalil.


Sekiranya seseorang pekerja bergegas-gegas menjalankan arahan daripada seorang Pengarah Jabatan, sepatutnya kita berhempas pulas untuk menjalankan arahan daripada Tuhan yang menciptakan kita ALLah SWT.


Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna meletakkan wasiatnya yang pertama adalah solat menggambarkan bahawa beliau sedar bahawa tidak adalah perkara yang lain lagiyang terpenting selepas iman iaitulah SOLAT!


Perihal pentingnya solat sehingga diletakkan sebagai Rukun Islam yang ke-2 setelah seseorang mengucap 2 kalimah syahadah mengaku Islam! Rasulullah SAW pula menyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Dhiyaul Maqdisi daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah SAW bersabda:


أَوَّلُ ماَ يُحَاسِبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِياَمَةِ الصَّلاَةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرِ عَمَلُهُ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرِ عَمَلُهُ.


Maksudnya : Yang pertama sekali yang akan dihitung pada seseorang hamba ALLah pada hari kiamat ialah Solatnya. Maka jika solat itu baik nescaya baik sekalian amalannya, dan jika solatnya rosak, maka rosak sekalian amalannya.


Saudaraku, fahamkanlah hadis di atas. Walau selautan kebaikan yang kita lakukan, walau segunung sedekah yang kita buat; Ketahuilah semuanya menjadi SIA-SIA jika solat kita terabai! AstaghfiruLLah...Aku BERTAUBAT kepada ALLah SWT...


Saudara sekalian, Sebenarnya, apakah dia pengajaran daripada ALLah SWT yang kita tunggu-tunggu untuk menyedarkan kita akan tanggungjawab solat ini?! Adakah kita menanti suatu BALA daripada ALLah SWT ke atas kita barulah kita nak sedar tugas kita untuk Solat? Atau adakah kita menanti nyawa kita terancam oleh MAUT barulah kita nak menjejakkan kaki di atas tikar sejadah?!


Ingatlah Saudaraku! Tidak ada alasan lagi untuk mengatakan bahawa yang kita ini belum sampai maklumat bahawa solat ini penting. Tidak ada alasan untuk kita kata SAYA TAK TAHU! Ini kerana Al-Quran telah ada dalam pelbagai bahasa untuk dibaca dan difahami; Internet juga telah banyak menyebarkan maklumat-maklumat; Buku-buku agama; Ceramah-ceramah agama di tv dan radio; tidak ada alasan lagi untuk kita menyatakan si anu itu tidak membantu kita memahami tentang Islam. Alasan itu sudah tidak dapat diguna lagi. Salahkanlah diri kita sendiri sekiranya nanti waktu yang diberikan oleh ALLah SWT untuk kita menjejakkan kaki ke tikar sejadah menjadi hanya tinggal 1 MINIT! SAKARATUL MAUT!


Saya menyeru saudara seagama sekalian, MARILAH KITA MENUNAIKAN SOLAT!


Tokabe96

27.05.2009 Rabu, Kuching.

Salam Sarawak,

Tuan Guru Ustaz Hj. Awang Pon. Barangkali bila disebut nama ini di kalangan muda mudi Sarawak, ramai yang tidak mengenali beliau. Akan tetapi nama ini tidak asing di kalanngan para agamawan di Sarawak. Beliau merupakan tokoh agama yang berasal dari Sarawak dan merupakan mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak.

Saya pernah mengaji dengan beliau dalam bidang Tasauf beberapa tahun yang lalu. Sepanjang saya mengenali beliau, beliau sememangnya seorang yang patut disegani kerana ketokohannya dan ilmunya serta sifatnya yang zuhud samada dari segi pamakaian, kenderaan, dan juga rumahnya tidaklah tersergam besar sehingga takjub mata memandang sebagaimana kebanyakan ilmuan pada masa sekarang.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat berani menegur sekiranya sesuatu itu tidak mengikut landasan Islam yang betul. Mungkin sebab itulah saya percaya nama beliau tidak diwar-warkan oleh media atau pihak agama Kerajaan Sarawak. Walau bagaimanapun, orang seperti Al-Fadhil Ustaz Hj. Awang Pon tidaklah mengharapkan namanya dikenali oleh orang ramai. Tetapi amat rugi sekiranya orang yang alim dalam bidang agama tidak dipandang oleh masyarakat, sebaliknya orang ayang menang juara lagu disambut dijulang daripada lapangan terbang lagi.

Kini Ustaz Hj. Awang Pon terlantar sakit di rumahnya. Saya mengajak para pembaca sekalian marilah kita sama-sama mendoakan kesembuhan buat beliau. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mencintai perjuangan Rasulullah SAW.

"Ya Allah dengan Asma' al-'Uzma dan dengan kudrat dan iradatMu ya ALLah, sembuhkanlah penyakit yang dialami oleh Ustaz Haji Awang Pon dan jadilah ubat yang sedang dimakan beliau sebagai penawar penyakit beliau. Ameen..."

Soal Jawab Kolum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Sumber : http://www.harakahdaily.net/

Fri | Mar 27, 09 | 10:23:32 am MYT

SOALAN: Ada pandangan mengatakan masalah berpolitik dalam mana-mana pertubuhan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan akhirat. Perkara dunia habis di dunia, itulah realitinya. Oleh kerana itu tidak timbul soal parti politik mana harus diikut, mana yang harus ditolak, semuanya sama, apa pandangan Dato? - MOHD MUNIR, menerusi e-mel


JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat.

Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat.

Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): "Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat.

Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat.

Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.

Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik.

Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat.

Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat.

Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita.

Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.

Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara.

Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara.

Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya): "Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."

Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah.

Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah.

Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah.

Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan.

Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Jika sudah sesat maka Allah menyatakan lagi (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan di akhirat kelak neraka jahanam yang kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya." (Surah al-Jin, ayat 23)

Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian.

Anda ada panduan yang boleh menentukan sendiri politik yang sebenar, mana yang memberi keuntungan dunia dan di akhirat, atau pun sekurang-kurangnya anda akan memperolehi keuntungan di akhirat jika anda berpolitik untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang suci murni. Wallahu a'lam.

;;
Blog Widget by LinkWithin