Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang lahir pada tanggal 6 Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Tuan Guru adalah anak yang ke-5 daripada 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang. Tuan Guru merupakan Presiden PAS. Beliau merupakan bekas Menteri Besar Terengganu. Beliau juga telah dikurniakan dengan gelaran "Dato' Seri Tuan Guru Haji".


Keluarga


Mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab bt. Awang dan Dr. Norzita Taat. Dikurniakan 13 orang anak. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 3 orang anak. Anak sulung beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Iman, Yaman.


Pendidikan


Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil aliran Sanawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Di samping itu beliau belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975).


Politik


Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang. Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Allah Yarham Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.


Pilihanraya ke-10 pada tahun 1999 telah menyaksikan kemenangan PAS dan Barisan Alternatif (BA) di Terengganu dan dapat mengekalkan kuasa di Kelantan. Tuan Guru telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.


Apabila Allah Yarham Ustaz Fadzil Mohd Noor meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di HUKM maka beliau telah memangku jawatan Presiden hingga ke Muktamar PAS ke-49 tahun 2003 di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Pada muktamar tersebut Tuan Guru telah disahkan sebagai Presiden PAS.


Dalam pilihanraya ke-11 PAS dan BA telah kalah di Terengganu. Tuan Guru hanya dapat mempertahankan DUN bagi kawasan Rhu Rendang sahaja.


Pada Muktamar PAS kali ke-51 di PUTIK, Kelantan pada 5 Jun 2005, Tuan Guru telah disahkan sebagai Presiden PAS bagi Penggal II - Sesi 2005/2007.


Pilihan Raya


Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.


Antarabangsa


Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir. Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat. Antaranya :-


  • Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.
  • Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.
  • Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.
  • Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
  • Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.
  • Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.
  • Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.


Kerjaya


  • Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 - 1978.
  • Menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu 1977 - 1978.
  • Menjadi Menteri Besar negeri Terengganu pada Disember 1999 – Mac 2004.

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin