ALHAMDULILLAH... Dengan nada yang perlahan dan kelegaan, itulah lafaz pertama yang terungkap dibibir saya setelah sampai di muka pintu rumah setelah berakhirnya perjalanan yang panjang dan memenatkan bersama keluarga dari beberapa buah tempat yang mampu diziarah bukan hanya untuk bersantai tetapi untuk menginsafi keindahan alam ciptaan ALLah SWT.
Sejenak merenung lafaz yang mulia itu, yang saya catatkan di atas, saya terfikir dan faham akan maksud tersurat daripada lafaz tersebut. Namun saya bertanya kembali kepada diri saya bahawa adakah saya benar-benar memahami maksud tersiratnya?
Maksud TERSURAT?
ALHAMDU maksudnya Syukur atau Puji-Pujian dan
LILLAH maksudnya Kepada ALLah.
Jika kita lihat maksud tersuratnya ialah kita mengucapkan syukur kepada ALLah SWT yang telah mengurniakan kepada kita nikmat yang tidak terhingga tanpa mengira kita taat atau kita derhaka kepada Nya.
Maksud TERSIRAT?
Namun apabila ditanya kembali adakah puji dan syukur yang kita lafazkan kepada ALLah SWT adalah di atas nikmat nyawa, udara, kehidupan, rezeki, yang hanya mampu kita nampak di depan mata kita sahaja? Adakah kita layak menyatakan kepada ALLah dengan mengucapkan puji kepada ALLah hanya ke atas perkara tersebut sahaja? Adakah itu sahaja yang ALLah miliki?!
Tentu sekali TIDAK.
Kekayaan yang ALLah SWT miliki tidak tertangkap oleh mata dan tidak terjangkau oleh fikiran kita. Nikmat yang ada di hadapan mata kita lantas menyebabkan hati kita memuji ALLah dengan terungkapnya lafaz ALHAMDULILLAH di bibir kita hanyalah ke atas perkara yang ada di hadapan mata dan terbayang di dalam fikiran kita sahaja sedangkan ALLah SWT sebenarnya mempunyai lebih banyak dari itu, lebih luas dari itu. Daripada sekecil-kecil atom di muka bumi sehingga sebesar-besar galaksi di tujuh petala langit adalah milik ALLah SWT.
Justeru, adakah sebenarnya melalui lafaz pujian yang kita ungkapkan untuk ALLah SWT melalui lafaz ALHAMDULILLAH sahaja cukup untuk menggambarkan terima kasih kita dan puji-pujian kita terhadap apa yang ALLah miliki...? SUBHANALLAH... Sesunggunhya hanya kepada ALLah SWT sahajalah kembalinya segala Puji-Pujian.
Labels: Alhamdulillah