Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din : Khaidir Hanya Seorang Nabi
Posted by TokAbe96 at Tuesday, September 01, 2009
SOALAN: Sudah beberapa kali saya mendengar ustaz-ustaz menyebut bahawa Nabi Khaidir masih hidup dan ada ustaz mendakwa dia pernah berjumpa dengan Nabi Khaidir yang berpakaian jubah hijau serta bertasbih panjang, dalam keadaan sedar, bukan mimpi. Betulkah dakwaan ini, tolong Dato' jelaskan agar kekeliruan sebegini dapat dilenyapkan.
OSMAN ABDUL KARIM, Bandar Pusat Jengka, Pahang
JAWAPAN:
Khaidir pernah wujud. Itu adalah benar (sahih). Cerita kewujudannya jelas di dalam al-Quranul Karim, dari ayat 65 hingga ayat 82, Suratul Kahfi (17 ayat semuanya).
Khusus menceritakan perihal Nabi Allah Musa a.s. yang bertemu dengan Khaidir.
Siapakah Khaidir?
Nama sebenarnya adalah Balya bin Malkaan, digelar al-Khaidir. Disebut Khaidir atau Nabi Khaidir. Jumhur ulama menyatakan beliau adalah Nabi (al-Qurtubi, juzuk 11, halaman 29). Beliau hidup pada zaman Nabi Musa a.s.
Imam Bukhari melaporkan dalam hadisnya (mafhumnya): "Nabi Musa dengan pembantunya bernama Yusha bin Nun bin Abraeen bin Yusof a.s. telah bertemu dengan Khaidir di satu tempat di tepi laut sedang berselimut menutupi seluruh badannya dengan kain hijau."
Salah satu sebab mengapa beliau digelar al-Khadri atau Khaidir, kerana al-Khadri itu bermakna hijau.
Ketika Nabi Musa bertemu buat kali pertama, Balya bin Malkaan ini memakai pakaian yang berwarna hijau.
Mujahid mengatakan, dinamakan al-Khaidir kerana ketika beliau bersembahyang, kawasan di sekitar beliau bersolat kelihatan hijau semuanya.
Selepas berkenalan Nabi Musa dengan Khaidir, mereka bersetuju untuk mengembara dan berlakulah pelbagai kisah seperti yang boleh dibaca dalam ayat Suratul Kahfi yang saya nyatakan di atas.
Persoalan, masih hidupkah Nabi Khaidir sehingga hari ini? Dalam kitab tafsir yang muktabar dan dalam hadis-hadis yang boleh dijadikan hujah, belum saya bertemu dengan nas sahih serta sarih (jelas nyata) bahawa Nabi Khaidir masih hidup.
Jika dilihat dalam al-Quran, ada satu ayat, Allah berfirman (mafhumnya): "Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia). Maka jika engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
"Tiap-tiap diri (yang bernyawa) akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kami lah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya, ayat 34-35)
Al-Maraaghi dalam tafsirnya, juzuk 17 di halaman 30, ketika mentafsirkan ayat-ayat di atas menyatakan: "Allah tidak mengekalkan seorang pun di atas dunia ini sebelum kamu wahai Muhammad, untuk menjadikan kamu kekal seperti mereka, malah semua Rasul-rasul Kami sebelum kamu tidak lagi hidup atau berada di atas muka bumi ini."
Jika ada Nabi seperti Khaidir dikatakan tidak wafat dan hidup di atas muka bumi ini, maka tentulah yang lebih aula untuk hidup kekal ialah Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda adalah Nabi Akhir Zaman, tiada Nabi lagi selepasnya.
Khaidir hanya seorang Nabi. Bukannya Rasul. Jika hendak dikekalkan maka Rasul-lah yang lebih utama.
Yang lebih penting daripada itu ialah Nabi Muhammad s.a.w. adalah Nabi dan Rasul Terakhir yang tidak akan ada Nabi lagi selepasnya.
Sekiranya Nabi Khaidir masih ada lagi dan boleh ditemui di dalam mimpi dan semasa berjaga (yakazah), maka bererti masih ada lagi Nabi selepas Muhammad s.a.w.
Bolehkan berlaku ada Nabi masih hidup selepas Nabi Muhammad s.a.w.?
Atas alasan sedemikian, maka pada pandangan saya, Nabi Khaidir memang wujud, tetapi telahpun wafat. Waalhua'lam. - lanh _
Labels: Nabi Khaidir