Setelah kita mengetahui kelebihan dan keutamaan Lailatul Qadar, pasti terdetik di dalam hati kita untuk mengetahui, bilakah akan berlakunya Lailatul Qadar dan apakah ada petunjuk-petunjuk berlakunya Lailatul Qadar itu? Apa yang perlu kita maklumi bahawa, Lailatul Qadar akan berlaku pada malam ganjil 10 Ramadan yang terakhir setiap tahun.


Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah di dalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan Ramadhan, jika kebetulan dengan malam Lailatul Qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.


Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.


Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan malam yang dikatakan sebagai Lailatul Qadar. Jumhur Ulama' tidak menentukannya dengan malam yang tertentu bulan Ramadhan untuk setiap tahun, tetapi menyatakan bahawa ianya adalah pada salah satu malam dari10 malam yang terakhir dan pada yang ganjil adalah lebih diharapkan. Antara sandaran untuk pendapat ini ialah hadits riwayat asy-Syaikhan, Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Sayyidatina 'A-isyah r.anha bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

Maksudnya : "Carilah lailatul qadr pada 10 terakhir dari bulan Ramadhan"


Malam ganjil tersebut ialah malam ke 21, malam ke 23, malam ke 25, malam ke 27 dan malam ke 29. Dan tanda-tanda Lailatul Qadar kebiasaannya hanya diketahui setelah berlalunya malam tersebut. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud RA dalam Sahih Muslim bahwa Rasulullah SAW menyebutkan di antara tanda-tandanya adalah:


(( وَأَمَارَتُهَا أَنْ تَطْلُعَ الْشَّمْسُ فِي صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لاَ شُعَاعَ لَهَا.))


Maksudnya: "Tanda-tanda Lailatul Qadar adalah matahari terbit pada paginya putih tak bersinar menyengat."


Dan dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"(Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan”


Sesungguhnya pada malam yang diberkati ini, sesiapa yang ditegah untuk mendapatkannya, maka telah terhalang seluruh kebaikan baginya. Dan tidaklah terhalang kebaikan itu, melainkan bagi orang yang diharamkan untuk mendapatkannya.


Di kalangan sebahagian ahli tasawwuf mereka ada formula sendiri untuk mengetahui malam tersebut, iaitu dengan melihat kepada hari awal Ramadhan. Bait-bait di atas yang aku beri erti dengan terjemah bebas adalah nazamnya Syaikh Abul Hasan yang kupetik dari Hasyiah al-Qalyubi juzuk 2 halaman 76, di mana dinyatakan bahawa:

  • Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadrnya malam ke-29;
  • Jika awal Ramadhan hari Jumaat atau Selasa, maka lailatul qadrnya malam ke-27;
  • Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka lailatul qadrnya malam ke-25;
  • Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka lailatul qadrnya malam ke-23;
  • Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka lailatul qadrnya malam ke-21.


Ini rumus sebahagian ulama bagi mencari malam al-qadar. Tersebut pada mukasurat 65 kitab "Mathla`ul Badrain" karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni bahawa sebahagian ulama termasuklah Imam al-Ghazali menyatakan diketahui malam tersebut melalui hari pertama bulan Ramadhan.

  • Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka ianya malam ke-29;
  • Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka ianya malam ke-21;
  • Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumaat, maka ianya malam ke-27;
  • Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka ianya malam ke-25;
  • Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka ianya malam ke-23.


"Tafsir al-Khatib" {iaitu tafsir "as-Sirajul Munir" karangan Syaikh Khatib asy-Syarbini rahimahUllah} daripada Syaikh Abul Hasan asy-Syadzili yang menyatakan bahawa jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad, maka Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika awalnya hari Isnin, maka Lailatul Qadr jatuh pada 21 haribulan; jika hari Selasa, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; Jika hari Rabu, Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika hari Khamis, Lailatul Qadr jatuh pada 25 haribulan; jika hari Jumaat, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; dan jika hari Sabtu, Lailatul Qadr jatuh pada 23 haribulan.


Nazam Syeikh Abul Hasan mengenai Lailatul Qadar :

Wahai yang bertanya
Tentang lailatul qadar bila ada ia
10 terakhir Ramadhan tempatnya dia
Pada yang gasal diharap adanya
Diketahui ia dengan hari Ramadhan bermula
Jika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah dia
Jumaat dan Selasa, ke-27 jadi ia
Khamis mula, ke-25 pula
Jika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utama
Jika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupa
Inilah kaedah dinaqal ia
Dari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta dunia


Apa yang pasti para Ulama' terdahulu yang telah berjumpa dengan Lailatul Qadar telah meninggalkan garis panduan yang sangat berharga kepada kita semua bagi memudahkan kita mencari Lailatul Qadar...Kini yang tinggal cuma keazaman kita sendiri sahaja samada benar-benar ingin bertemu dengan Lailatul Qadar atau sekadar hanya dapat menyebut-nyebut tentang kelebihan Lailatul Qadar sahaja kepada yang lain...

~~.::Tokabe96::.~~


Sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin