Nukilan : TokAbe96
Salam Sarawak!
Sebagai anak jati Sarawak sememangnya saya mempunyai jiwa pengharapan yang besar agar dakwah di Sarawak mendapat sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Malaysia Muslim khususnya.
Umum mengetahui bahawa, usaha untuk menggerakkan dakwah Islamiyyah ini bukanlah suatu perkara mudah. Pasti ada cabaran dan dan rintangan yang akan ditempuhi. Bukanlah dinamakan perjuangan jika tidak berkorban.
Pada pemerhatian saya, di Sarawak bumi yang sangat bertuah ini, usaha dakwah sememangnya telah lama dilakukan dan digerakkan bukan hanya oleh badan-badan dakwah kerajaan atau NGO yang telah diketahui umum, bahkan ada juga yang digerakkan oleh orang perseorangan.
Saya pernah berdialog dengan beberapa orang penduduk kampung semasa saya dan beberapa rakan seperjuangan dalam suatu gerakan dakwah di kampung-kampung di pedalaman Sarawak, saya mendapati bahawa masalah yang sering mereka hadapi adalah, kurangnya follow up yang dilakukan oleh para pendakwah terhadap mereka yang telah memeluk Islam sehinggakan mereka tercari-cari apakah cara hidup Islam yang sebenar. Kesannya tidak dinafikan terdapat mereka yang kembali kepada agama asal mereka.
Persoalannya siapakah mereka yang sepatutnya membuat sesi follow up terhadap masyarakat kampung pedalaman ini?
Saya mula tercari-cari apakah jawapan yang sepatutnya bagi soalan tersebut. Pada satu perjumpaan saya dengan beberapa orang Da’ie dalam perjumpaan yang berasingan, saya ajukan permasalahan mereka. Menariknya jawapan yang mereka berikan hampir sama iaitu masalah kewangan.
Ianya bukanlah bermaksud mereka tamakkan harta benda, inginkan wang yang lebih untuk kegunaan peribadi, tidak sama sekali. Ini kerana sebagai seorang Da’ie di dalam sesebuah kampung, masyarakat kampung bukan hanya memandang seseorang pendakwah itu sebagai seorang Ustaz, akan tetapi mereka juga meletakkan segala bentuk bantuan dalam permasalahan kampung terhadap dirinya termasuklah bantuan kewangan.
Justeru, persoalan kedua yang timbul dalam fikiran saya ialah siapakah yang sepatutnya menyalurkan bantuan kewangan kepada para penggerak dakwah Islamiyyah ini?
Pada pandangan saya, tentang siapa, kita tidak harus menuding jari kepada pihak-pihak institusi dakwah samada kerajaan atau NGO sahaja. Pada saya kita sepatutnya menuding jari kepada DIRI KITA SENDIRI sebagai warga Malaysia yang beragama Islam, APAKAH PERANAN DAKWAH YANG TELAH KITA LAKUKAN bagi membantu para penggerak dakwah islamiyyah ini mampu bertahan?
Dengan adanya teknologi maklumat yang global dan canggih pada masa ini, banyak usaha yang sepatutnya dapat dilakukan oleh seseorang individu dalam membantu gerakan dakwah Islamiyyah khususnya di Sarawak. Berikut beberapa cadangan yang dapat dilakukan sebagai Infaq kita ke jalan ALLah SWT antaranya;
1. Menyalurkan sumbangan wang ringgit ke dalam akaun mana-mana institusi penggerak Dakwah Islamiyyah yang kita ketahui dan yakini samada melalui penyerahan di kaunter bank atau di mesin ATM atau melalui potongan gaji secara berterusan.
2. Menaja sumbangan buku-buku agama yang asas ke kampung-kampung pedalaman secara terus atau dengan bantuan badan penggerak Dakwah yang kita kenal.
3. Menceburkan diri sekali sekala bersama-sama menyertai usaha dakwah di mana-mana sahaja sebagai pengalaman buat diri.
Diharap dengan adanya pendedahan yang ringkas ini akan dapat memberi kefahaman serta penjiwaan diri kita terhadap islam itu sendiri. Ingatlah firman ALLah SWT di dalam Surah As-Soff : Ayat 10 -11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
SYAHID! ARAH TUJU KITA!
Labels: Hakikat Dakwah