(Unzur mal qal; Wala tanzur man qal)

Pada hari ini genaplah sudah usiaku enam puluh tahun
Yang berlalu sudah banyak
Yang baki sedikit sahaja lagi
Bila-bila masa sahaja aku akan kembali
Ini memberi erti perpisahan
Sudah dekat sekali
Bila-bila masa boleh berlaku

Oleh itu eloklah aku memberi wasiat
Bukan harta, tidak juga wang ringgit
Tapi nasihat

Anak-anakku,
Ingatlah selalu akan mati
Ia akan melembutkan hati
Memendekkan angan-angan
Tidak memandang besar dengan dunia
Dan akan tahu dengan dosa

Anak-anak cahaya mataku!
Jauhilah sifat sombong
Kerana ia dosa besar selepas syirik
Dan derhaka dengan dua ibu bapa
Tanda-tanda dapat dilihat oleh mata hati
Bukan mata kepala

Diantaranya ;
Tidak terasa dirinya hamba yang hina
Tidak melihat dosa sendiri
Memandang besar dosa orang lain
Pantang ditegur, hatinya sakit
Tidak senang dengan kelebihan orang lain
Dengkipun datang
Hatipun sakit

Keloh-kesah dengan ujian seperti miskin
Dihina orang dan lain-lain
Bangga dan lupa dengan kesenangan
Berdendam dengan orang
Mudah bersungut dan marah
Didepankan dia mengepak
Dibelakangkan dia menanduk
Lupa dengan mati
Tidak risau dengan dosa

Anak-anakku yang tersayang!
Jagalah maruah diri, dengan tidak meminta-minta
Jauhilah berhutang agar diri tidak terhina
Jiwa tidak derita sengsara
Dan jangan keluh-kesah dengan kesusahan
Hilang cahaya muka
Terkuburnya wibawa
Yang paling ditakuti,
ia membawa jahat sangka dengan Tuhannya

Anak-anakku yang tercinta,
Jagalah maruah keluarga
Lebih-lebih lagi ibu bapa
Menghina mereka ertinya menghina diri sendiri
Memalukan mereka bererti memalukan diri sendiri
Menghina ibu bapa jiwa akan derita di dunia lagi
Ke mana saja pergi hidup akan sengsara
Betapalah di akhirat sana
Kerana dosa yang paling besar selepas syirik
Ialah derhaka dengan dua ibu bapanya

Anak-anakku yang dikasihi!
Jagalah sembahyang, betulkan selalu
Di akhirat nanti
Sembahyanglah yang akan diperiksa lebih dahulu
Bila sembahyang tertolak
Kebaikan yang lain,
walaupun menggunung tidak ada nilai lagi.

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin