Salam Sarawak,

Tuan Guru Ustaz Hj. Awang Pon. Barangkali bila disebut nama ini di kalangan muda mudi Sarawak, ramai yang tidak mengenali beliau. Akan tetapi nama ini tidak asing di kalanngan para agamawan di Sarawak. Beliau merupakan tokoh agama yang berasal dari Sarawak dan merupakan mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak.

Saya pernah mengaji dengan beliau dalam bidang Tasauf beberapa tahun yang lalu. Sepanjang saya mengenali beliau, beliau sememangnya seorang yang patut disegani kerana ketokohannya dan ilmunya serta sifatnya yang zuhud samada dari segi pamakaian, kenderaan, dan juga rumahnya tidaklah tersergam besar sehingga takjub mata memandang sebagaimana kebanyakan ilmuan pada masa sekarang.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat berani menegur sekiranya sesuatu itu tidak mengikut landasan Islam yang betul. Mungkin sebab itulah saya percaya nama beliau tidak diwar-warkan oleh media atau pihak agama Kerajaan Sarawak. Walau bagaimanapun, orang seperti Al-Fadhil Ustaz Hj. Awang Pon tidaklah mengharapkan namanya dikenali oleh orang ramai. Tetapi amat rugi sekiranya orang yang alim dalam bidang agama tidak dipandang oleh masyarakat, sebaliknya orang ayang menang juara lagu disambut dijulang daripada lapangan terbang lagi.

Kini Ustaz Hj. Awang Pon terlantar sakit di rumahnya. Saya mengajak para pembaca sekalian marilah kita sama-sama mendoakan kesembuhan buat beliau. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mencintai perjuangan Rasulullah SAW.

"Ya Allah dengan Asma' al-'Uzma dan dengan kudrat dan iradatMu ya ALLah, sembuhkanlah penyakit yang dialami oleh Ustaz Haji Awang Pon dan jadilah ubat yang sedang dimakan beliau sebagai penawar penyakit beliau. Ameen..."

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin