Nukilan : TokAbe96


Salam Sarawak,


Alhamdulillah, syukur kepada ALLah SWT. Baru kejap tadi selesai melaksanakan tugas-tugas di pejabat. Yalah bak kata kenalan saya Ustaz Hasfa, suasana tenang dan nyaman yang ada di dalam pejabat ni kadangkala membuatkan kita leka dengan tanggungjawab kita sebagai hamba ALLah SWT dan Penolong Agama ALLah SWT. Pada kali ni saya merasa terpanggil juga untuk membicarakan tentang Wahabi Ghulluw.


Acap kali kita mendengar gomelan-gomelan sana-sini berkenaan dengan bid’ah. Masyarakat kampung yang dahulunya sangat gemar datang ke masjid dan surau, juga terikut-ikut dengan kata-kata dari puak Wahabi Ghulluw ini dan natijahnya pada peninjauan yang saya lakukan suasana segelintir surau tidak lagi seperti dahulu disebabkan pertelingkahan dan percanggahan pendapat terhadap perkara yang kecil. Dahulunya yang hadir ke surau ramai tetapi sekarang kadang-kadang Azan pun tidak berkumandang. Surau ditinggalkan kesepian tanpa jemaah.


Kelas-kelas pengajian agama dahulunya rancak, kini telah ditutup bukan kerana tenaga pengajar tiada tetapi bagi mengelakkan perbalahan berlaku dengan segelintir ahli surau maka guru tersebut terpaksa mengalah dan menjadi ahli jemaah masjid/surau yang lain. Masyarakat kampung yang sepatutnya didedahkan dengan kecintaan melaksanakan ajaran agama walaupun sunnah Rasulullah SAW daripada hadis dho’if sekalipun, bagi saya tidak mengapa, tetapi terdedah pula dengan ajaran Wahabi Ghulluw. AstaghfiruLLah... Sedarlah wahai pengikut ajaran Wahabi, majoriti Ulama’ yang muktabar mengesahkan bahawa ajaran Wahabi ini telah terpesong dan lari dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Segeralah kamu BERTAUBAT dan kembali kepada Jamaah.


Pelajar-pelajar di IPT juga tidak lari dari kesan-kesan ajaran Wahabi ini. Salah sebuah IPT di Kota Samarahan ini, telah tersebar juga di kalangan para pelajarnya baik lelaki mahupun wanita tentang bid’ah membid’ah ini. Walhal mereka ini jurusannya bukanlah jurusan agama. Dengan kata lain bukanlah ahli yang layak untuk mempersoalkan tentang hukum hakam agama akan tetapi disebabkan dengan pengaruh ajaran Wahabi ini menyebabkan mereka merasa mereka betul dan harus menyebarkan ajaran Wahabi tersebut kepada rakan-rakan yang lain, padahal mereka sebenarnya tidak arif tentang apa yang mereka sebarkan melainkan hanya sekadar tahu sahaja.


Kesannya? Para pelajar yang cerdik akan bertanya terlebih dahulu kepada para pensyarah mereka yang ahli dalam agama. Mereka yang bertanya ini akan terselamat dari pengaruh Wahabi. Manakala bagi yang kurang cermat, akan mudah terpengaruh. Akhirnya, terjadilah sindir menyindir di kalangan mereka. Bukankah menjadi batu api itu berdosa besar?


Jika ditanya kepada diri anda, sukakah kita bila orang menuduh kita FASIQ dengan sewenang-wenangnya?


Jika kita tidak suka maka hendaklah kita fahami benar-benar hadis bid’ah yang Rasulullah SAW maksudkan. Jangan pula nanti kita kata Al-Quran itupun bid’ah. Na’uzubillah min dzalik.


Sebagai menambah ilmu di dada kita tentang cara-cara berkhilaf, baca dan fahamilah kata-kata dari guru saya Tuan Guru Hj. Awang Pon bin Awang Sebon yang saya petik dari laman blognya di [http://muallimawang.wordpress.com/2009/04/02/gerakan-tabdimembidah/]


“Akhir kalam saya suka mengetengahkan adab para ulama dalam manangani masalah khilafiah.


1. Imam Alhafiz Abu Musa bin Abdul A’Ala al-Masriyy pernah berkata” Tidak aku dapati orang yang berakal (lebih cerdas) selain daripada Imam Syafiee. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku, kemudian berkata: Wahai Abu Musa, hendaklah kita santiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalahpun.


2. Imam Syafiee rahimahullah pernah solat Subuh di masjid dekat makam Imam Abu Hanifah dan beliau tidak melakukan qunut sebagaimana mazhab beliau dan itu beliau lakukan kerana menghomati Imam Abu Hanifah, pada hal Imam Abu Hanifah telah wafat tepat pada tahun Imam Syafiee rahimahulah dilahirkan.


3. Diceritakan daripada imam Abu Ya’la alhambali bahawa pernah ada seorang ulamak fiqh yang datang kepada beliau untuk belajar dan membaca kitab fiqh berdasarkan mazhab imam Ahmad bin Hambal. Beliau( Imam Abu Ya’la bertanya tentang negeri asalnya, maka dia pun memberitahukannya kepada beliau, maka beliau berkata kepadanya: Sesungguhnya penduduk negerimu seluruhnya mengikut mazhab imam Syafi’ee, lalu mengapakah engkau meninggalkannya dan ingin beralih kepada mazhab kami? Dia menjawab:Saya meninggalkan mazhab ini kerana saya berasa lapang dan tertarik hati denganmu. Selanjutnya Imam Abu Ya’la berkata: Ini tidak dibenarkan kerana jika engkau di negeri mu bermazhab dengan mazhab Ahmad rahimahullah sedangkan seluruh masyarakat di sana mengikut mazhab Imam Syafi’ee maka engkau tidak akan mandapatkan seorangpun yang beribadat(di dalam mazhab Ahmad)rahimahullah, bersamamu dan tidak pula yang belajar denganmu. Bahkan boleh jadi engkau akan membangkitkan permusuhan dan menimbulkan pertentangan. Maka sepatutnya kamu berada di mazhab as-syafi’ee adalah lebih utama dan lebih baik.


4.Imam Syafi’ee pernah berkata:Pendapatku, menurutku adalah benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat orang lain, menurutku adalah salah,namun ada kemungkinan benar. Sifat tawadhuk Imam Syalfiee ni telah diambil kesempatan oleh mereka yang tidak mahu terikat dengan amalan bermazhab-tidak bermazhab-pada hal makusd sebenarnya bukan demikian.”

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin